Sunday, 20 November 2011

saat paling bahagia..


Seorang isteri bertanya kepada suaminya, "Apakah saat paling bahagia didalam hidup abang? "
Suaminya memandang muka isteri dan berkata, "Saat itu belum terjadi lagi.."
Si isteri terdiam sejenak.
Kemudian dia bertanya lagi, "Dan bila saat itu akan terjadi?"
Suaminya berkata : "Saat itu adalah hari di mana awak membuka pintu dan berkata kepada saya, "Abang, Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh" di dalam rumah kita di Syurga.."
Firman Allah SWT :
"Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim: 6)
"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim no. 2491)
"Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan isterinya lalu si isteri mengerjakan solat. Bila isterinya enggan untuk bangun, ia percikkan air di wajah isterinya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan suami lalu si suami mengerjakan solat. Bila suaminya enggan untuk bangun, dia percikkan air di wajah suaminya." (Sanad hadis ini shahih kata Asy-Syaikh Ahmad Syakir dalam tahqiqnya terhadap Al-Musnad

Menjadi isteri diredai Allah

TIADA lebih membahagiakan bagi seorang suami melainkan memanjatkan rasa kesyukuran dan bertuahnya mereka apabila dikurniakan seorang isteri yang bijak, solehah, bersederhana serta mempunyai watak menarik.
Ia dikira ‘pakej lengkap’ bagi seorang wanita selepas sifat kesempurnaan seorang isteri itu subur dalam diri mereka. Dalam melayari kehidupan rumah tangga pasangan suami isteri perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal.
Mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran asas rumah tangga dan meminta pandangan dan nasihat daripada golongan berpengalaman seperti ibu bapa mereka.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’ ayat 34)
Ketaatan isteri kepada suaminya memudahkan mereka mendapat syurga Allah s.w.t di akhirat kelak kerana ketaatan terhadap suami menjadi ukuran kepada keredaan-Nya.
Diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Israk Baginda di mana kebanyakan penghuni neraka adalah kaum wanita iaitu termasuk wanita derhaka kepada perintah Allah s.w.t dan suaminya.
Isteri yang taat dapat dinilai melalui bicaranya yang memperlihatkan kelembutan dan kesopanan, mereka juga tidak sesekali memerintah suaminya, berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, apabila suami masuk atau keluar rumah mereka menyambut suami dengan penuh mesra, sentiasa menghormati keluarga suami, bersyukur dengan apa yang disediakan suami serta tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.
Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak berlaku dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami itu menjurus kepada dosa dan kemaksiatan isteri dibenarkan membantah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.”
Berhias untuk suami juga penting dalam mengekalkan keharmonian hidup suami isteri. Namun isteri hanya boleh memperlihatkan perhiasan hanya buat suami mereka saja.
Ia bertujuan untuk menjadikan suami mereka terhibur. Bayangkan jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih namun apabila melihat muka isteri berseri-seri pasti akan menimbulkan suasana tenang kepada suami.
Keletihan mencari rezeki akan menjadi hilang malah membangkitkan lagi perasaan kasih sayang terhadap isterinya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dari Jabir ra. Dia berkata: ‘Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana lama ditinggalkan suaminya.’”
Selain itu, hubungan intim juga antara penyumbang kepada kebahagiaan sebuah rumah tangga. Sebab itu, isteri perlu memberi layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuannya.
Terdapat banyak kes membabitkan pasangan yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan sehingga sampai ‘berperang besar.’
Perkara sedemikian perlu dielakkan kerana ia mencetuskan suasana tegang antara pasangan.
Isteri hanya boleh menolak permintaan suami dalam keadaan tertentu seperti dalam keadaan sakit atau dalam keadaan dilarang syarak untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid.
Kemuliaan dan ketaatan isteri di mata suami akan lebih terserlah apabila mereka mampu menjadi teman berunding apabila suami menghadapi masalah.
Isteri perlu tahu ketaatan mereka kepada suami adalah perintah daripada Allah s.w.t. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.
Ulama asy-Syafi’eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari melakukan ketaatan yang wajib terhadap suaminya. Antara perkara yang menunjukkan isteri nusyuz terhadap suaminya ialah keluar rumah tanpa keizinan suami.
Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya. Mereka dilaknat selagi mana tidak melakukan taubat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Islam meletakkan beberapa tindakan dalam menangani masalah isteri nusyuz antaranya ketika nampak tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling atau isteri menjawab percakapan suaminya dengan suara kasar maka sunat ke atas suami memberi nasihat.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah kaum wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468)
Justeru buat isteri, rebutlah peluang mudah jalan menuju ke syurga dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah serta mentaati suami.
Perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata isu yang dikaitkan dengan Kelab Isteri Taat mempunyai misi tersurat dan tersirat.
“Matlamat mereka adalah untuk mengajak golongan isteri supaya berpoligami.
“Ia sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu yang lebih penting ialah memberi fokus bagaimana untuk menjana pendapatan golongan janda, keruntuhan rumah tangga serta memperbaiki kelemahan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata poligami sebenarnya adalah untuk mereka yang berkemampuan dan boleh memberi keadilan kepada setiap wanita yang dinikahinya.
“Hanya lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan berkemampuan untuk menyara kehidupan anak dan isteri boleh berkahwin lebih daripada satu berdasarkan hukum syarak.
“Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang baik bagimu, dua, tiga atau empat orang. Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja atau hamba sahaya yang demikian itu lebih dekat kepada tidak teraniaya.”
“Apa yang kita tidak mahu ialah jika ada yang mengambil kesempatan dengan kekurangan yang dimiliki namun mempunyai impian untuk mempraktikkan poligami. Dalam Islam kita ‘takut’ isteri kerana bimbang tidak dapat berlaku adil sesama mereka,” katanya.
Mohd Zawawi berkata dalam perkahwinan, malah poligami sekalipun matlamatnya bukan nafsu seks semata-mata kerana semua itu bersifat sementara.
“Nafsu manusia ini sebenarnya tidak pernah ‘kenyang’. Semua orang mesti ingat bahawa sebab utama poligami ialah untuk keadilan, ketaatan dan akidah.
“Ramai yang menyatakan tujuan mereka berpoligami adalah untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w sebenarnya berpoligami atas sebab syarak. Pokok pangkalnya, hanya akidah yang mampu menyelesaikan nafsu tidak terbatas,” katanya.
Beliau berkata suami boleh guna kaedah poligami atas sebab terdapat masalah kesihatan atau keturunan yang membabitkan pihak isteri.
“Wajib berpoligami jika bimbang suami akan terjerumus ke dalam kancah maksiat. Maka poligami menjadi penyelesai masalah terutama berkaitan kesihatan dan keturunan yang menjadikan kehidupan itu lebih harmonis,” katanya.

Sunday, 30 October 2011

Saya diselaputi dosa, ingin keluar, tetapi…

Macam mana hendak membersihkan diri dari selaput lumpur dosa kita yang melekat kuat?

Satu perkara yang sering diajukan kepada saya adalah berknaa ingin keluar daripada lumpur dosa. Ya, ramai sebenarnya yang ingin berubah. Tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka patut lakukan. Ada pula yang hatinya telah diketuk dengan kesedaran, tetapi dosa-dosanya yang banyak membuatkan dia merasakan dirinya tidak terampun.

Kita rasa diri kita kotor dengan dosa. Kita ingin keluar. Tetapi kita tidak tahu bagaimana.

Kita telah berusaha untuk keluar, berkali-kali mencuba, tetapi gagal juga, kita rasa kecewa.

Apakah tiada cara untuk kembali kepada-Nya?

Kita tertanya-tanya.

Untuk saya, selagi kita tidak berputus asa, selagi itulah ruang untuk menggapai keampunan Allah terbuka. Ya, selagi kita tidak berputus asa.


Pesan mudir saya

Sebelum saya ke Jordan, antara perkara yang saya paling takutkan adalah dosa. Saya risau jika saya tidak lagi tinggal di sekeliling guru-guru yang boleh menegur, tidak lagi bersama rakan-rakan yang boleh menasihat, dan apabila saya terjerumus ke dalam dosa, tiada siapa lagi boleh menarik angkat saya.

Maka saya bertanya kepada mudir MATRI, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.

“Ustaz, kalau seseorang itu, jatuh dalam lembah dosa, kemudian bertaubat, kemudian dia terjatuh kembali, kemudian dia bertaubat, kemudian dia terjatuh lagi, dan berkali-kali perkara itu berulang, dosa itu tidak mampu dia tinggalkan, bagaimana ustaz?”

Ustaz Dahlan menjawab dengan tenang ketika itu:

“Usaha lagi. Jangan putus asa. Berapa kali terjatuh pun, bangun balik, bertaubat kepada-Nya. Jangan putus asa”

Ringkas. Pesanannya sangat ringkas.

Jangan putus asa.



Yang kemudiannya saya belajar

Kemudian, apabila saya berada di Jordan, saya ada mengambil satu mata pelajaran bernama Hadyi An-Nabawi Fil Adab Wa Ar-Riqaaq. Bermaksud Petunjuk Nabawi Dalam Adab dan Pelembut Hati. Kitabnya terbahagi kepada dua. Pertama Adab, kedua Riqaaq.

Di dalam Kitab Ar-Riqaaq, terdapat satu bab bertajuk:

Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah Walau Telah Membunuh 100 Orang

Di bawah tajuk itu, terdapat satu hadith yang mungkin biasa kita dengar. Hadith itu mafhumnya begini:

Dari Abu Said Al-Khudri radhiallahuanhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Dulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang membunuh sembilan puluh sembilan orang, sehingga dia bertanyakan tentang orang yang paling alim di kalangan penduduk bumi. Mereka menunjukkannya kepada seorang rahib (ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatanginya dan berkata bahwa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Rahib tadi berkata: “Tidak.” Orang itu lalu membunuhnya, sehingga genap menjadi seratus orang. Kemudian dia bertanya tentang penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia berkata kepadanya bahawa  dia telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Dan siapakah yang mampu menghalang antaramu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, kerana di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah Ta’ala. Beribadahlah bersama mereka, dan jangan kembali ke negerimu karena negerimu adalah negeri yang jelek.” Kemudian orang itu pergi tetapi di tengah-tengah perjalanan dia meninggal. Lalu malaikat rahmat dan malaikat adzab saling berselisih tentangnya. Malaikat rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah.” Malaikat azab berkata: “Dia belum beramal shalih sama sekali.” Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam bentuk manusia. Mereka (kedua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: “Ukurlah antara dua negeri tersebut. Mana yang lebih dekat (jaraknya dengan kedua negeri itu) maka itulah lebih berhak.” Mereka kemudian mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahwa dia (orang yang mati itu) lebih dekat ke negeri yang baik. Maka malaikat rahmat mengambilnya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dahulu, saya pernah terbaca juga hadith ini. Tetapi dahulu sekadar terbaca. Saya dahulu berkata, lelaki itu hakikatnya bernasib baik kerana dia mati dalam jarakk yang lebih dekat pada negeri yang baik, sebab itu dia akhirnya masuk syurga. Tetapi, hakikat hadith itu rupanya bukan sedemikian. Pensyarah saya, Dr Muhammad Audeh Al-Hawari yang memang terkenal sebagai antara pakar hadith di Yarmouk berkata:

“Kenapa hadith ini menyertakan sekali perihal jarak antaara lelaki itu dengan kampung kebaikan? Hal ini kerana, Allah hendak menunjukkan bahawa Dia telah mengampunkan lelaki ini atas usahanya bergerak ke arah taubat tadi. Allah lah yang mendekatkan jarak kampung kebaikan itu pada lelaki itu”

Ketika ini, mata saya terbuka.

Teringat pesanan mudir saya.

Usaha, jangan putus asa.



Allah kepada kita

Allah, Tuhan kita. Dia, langsung tidak sama dengan apa yang ada dalam fikiran kita. Tidak akan mampu kita bayangkan-Nya, walaupun pembayangan kita amat hebat. Hal ini kerana, kita adalah makhluk, dan kita hidup dikelilingi makhluk, maka seluruh pemikiran kita tidak akan mampu menggapai apa yang bukan makhluk.

Sebab itu, keampunan Allah SWT, yang Allah SWT katakan amat luas itu, tidak akan mampu kita bayangka keluasannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Allah menulis pada atas arasy-Nya: Sesungguhnya rahmatku mendahului kemarahan-Ku” Riwayat Bukhari.

Di dalam riwayat lain, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya rahmatku, lebih luas daripada kemarahan-Ku”

Inilah dia harapan yang Allah berikan kepada kita. Dia bukannya tidak tahu kelemahan yang ada pada hamba-hamba-Nya. Dia meluaskan keampunan-Nya agar kita hamba-Nya ini tidak berputus asa. Agar kita tidak berputus asa mendekati-Nya, kembali kepada-Nya, memohon ampunan-Nya.

Di dalam satu hadith qudsi, Allah SWt berfirman:

“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Lihatlah. Berapa kali tersungkur pun, seandainya kita terus-terusan berusaha mendekati Allah SWT, dalam keadaan penuh sesal dan harapan menggunung untuk meinggalkan dosa kita, dengan penuh sangka baik bahawa Allah akan mengampunka dosa kita walau 1000 kali tersungkur jatuh, insyaAllah keampunan Allah SWT adalah milik kita.

Masalahnya, berapa gigih kita berusaha untuk mendapatkan keampunan-Nya?



Penutup: Allah pesan – Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah

Bagi manusia yang beriman, melakukan dosa tanda imannya terganggu. Tetapi, itu bukan menandakan keimanannya tiada. Cuma resmi manusia lalai dan alpa, kadangkala kelalaiannya amat kronik hingga terheret melakukan dosa.

Tetapi, antara beza orang beriman dengan orang yang tidak beriman adalah, apabila dia berbuat dosa, dia tidak akan melengah-lengahkan taubatnya. Dia tidak akan putus asa dalam taubatnya.

Anda, yang merisaukan diri anda berkenaan dengan dosa yang anda ada sekarang, tandanya keimanan anda masih bergetar.

Maka saya berpesan kepada diri saya dan diri anda, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. Allah sendiri berfirman:

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” – Az-Zumar ayat 53.

Di dalam ayat lain, Allah memberitahu kepada kita bahawa Nabi Ya’kub berpesan kepada anak-anaknya:

“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -Surah Yusuf ayat 87.

Maka bergeraklah. Bergerak dan jangan putus asa.

Jangan berhenti.

Terus mencari keampunan-Nya, dengan usaha, bukan harapan sahaja.

© Langitilahi.com

Bestnya Kahwin | Best Tak Kahwin? -


Bestnya kahwin adalah statement yang sering diucapkan oleh pasangan suami isteri yang bahagia dalam kehidupan berumahtangga atau perkahwinan. Mereka dapat merasai nikmat dan hikmah ‘bestnya kahwin’ itu.. Sering kali bila seseorang itu berkongsi bestnya kahwin atau hikmah perkahwinan dengan seseorang yang belum kahwin.. Dia akan kata eeee…. bestnya kahwin.. nak kawin jugak lah!!.. itu respons semula jadi manusia.


Best atau tak kahwin itu pula terletak kepada kita pasangan suami dan isteri, jika kita ada sifat taqwa (takut) pada Allah, sedar akan segala yang dipertanggungjawab dan tunaikan segala yang dituntut, sentiasa berdoa, Insyaallah kita akan sentiasa kata… bestnya kahwin!!
Kepada pasangan pengantin baru akan melalui bestnya kahwin ini, dan dengan doa dan berlaku baik sesama suami dan isteri.. perasaan bestnya kahwin ini akan kekal hingga ke akhir.. Insyaallah
bestnya kahwin seronok berkahwin
Baru-baru ni saya berbual dengan seorang bekas anak murid lelaki,
“Saya tengok awak ni dah cukup syarat untuk kahwin..Ramai orang yang nak, duit banyak, pangkat besar, hensem, umur pun dah 26. Apasal tak nak kawin lagi?”

Dia menjawab dengan ringkas, “Saya nak enjoy dulu lah Dr.”
Saya pun bercerita panjang kepadanya tentang perbezaan orang dah berkahwin dengan belum. Dia pun akhirnya teruja mendengar‘seronoknya’ berkahwin. – tulisan Dr Siti Hamidah

1) Ada teman yang halal untuk melakukan segala-galanya; makan, tidur, berjalan-jalan, tengok wayang, shopping dan sebagainya. Apabila berjalan pegang tangan, terus dapat pahala dari Allah. Kalau tidak berkahwin, dapat dosa pula.

2) Adanya orang yang sentiasa bersama waktu senang, susah, kacak, selekeh (bangun tidur especially), kaya, pokai, gembira, duka dan sebagainya.

3) Ada isteri/suami yang akan mengimbangi kekurangan diri kita, seterusnya melengkapkan diri kita untuk menjadi seorang yang hebat. Suami isteri yang bersikap bertentangan adalah yang terbaik. Contoh, apabila seorang suami mudah marah, selalunya akan dapat isteri yang sabar. Dalam masa yang sama suami juga akan belajar/berjangkit sifat sabar.

4) Akan mengalami kebahagiaan yang hanya orang berkahwin sahaja alami. Jika anda rasa bercinta itu bahagia, berkahwin adalah 10 kali ganda bahagia. Percayalah!

5) Boleh berjimat duit dan mampu mengumpul harta. Jika bercinta, kos hidup menjadi dua kali ganda (sewa rumah, telefon, bil, makan). Kajian menunjukkan pasangan berkahwin lebih banyak memiliki harta berbanding mereka yang tidak berkahwin.

6) Dapat zuriat. Jika berkahwin adalah 10 kali ganda bahagia daripada bercinta, memiliki seorang anak pula akan memberi lebih lagi kebahagiaan kepada kita. Hanya orang yang mempunyai anak sahaja yang tahu. (Anak kucing, anak hamster atau anak tekak tidak termasuk ya..)
7) Kita akan dapat kepastian yang tidak berbelah bahagi tentang kasih sayang dan kesetiaan suami/isteri kita. Kalau bercinta, masih tidak pasti dia betul-betul setia selagi dia tidak mengahwini kita.

8) Kita akan dapat satu perkara paling best iaitu PELUKAN dan CIUMAN. Dua perkara ini adalah satu anugerah untuk orang yang berkahwin. Melaluinya jiwa kita akan sangat tenang dan gembira, malah jika selalu diamalkan akan menjadi awet muda dan berseri-seri!

9) Faktor yang terpenting adalah untuk mencari keredaan Allah dan mengelak daripada melakukan maksiat.

Akhirnya bekas pelajar saya berkata, ”Betullah Dr., dah kahwin lagi enjoy kan? Kalau tengok wayang bolehlah peluk-peluk, makan
bersuap pun orang tak mengata..”
Apa lagi, yang bujang-bujang cepatlah berkahwin. Gadis janganlah letak hantaran tinggi sangat ya :) ..

Demikianlah hikmah perkahwinan yang boleh kita dapat manfaatnya.. Insyaallah.

(dipetik dr kedaikuhebat.com)

Monday, 24 October 2011

BERSANGKA BAIK DEMI CINTA


Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya siisteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1.      Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan.  Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)  yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

v) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.  Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
http://genta-rasa.com/2011/09/08/bersangka-baik-demi-cinta/


BERCERITA TENTANG JODOH…