Tuesday, 5 July 2011

mudahnya menjadi suami...


Suatu petang yang hening lagi mendamaikan. Seorang abang dan adiknya berbual-bual panjang setelah begitu lama tidak bertemu. Maklumlah, kedua-duanya sibuk dengan pengajian masing-masing.
Dikesempatan ini mereka berbincang sesuatu yang bernada serius tetapi penuh dengan suasana harmoni.
"Abang rasakan, mudah sahaja untuk menjadi seorang suami,"kata abangnya.
"Eh, kenapa abang cakap macam tu?," soal adiknya sedikit gusar.
"Mudahnya menjadi suami, jika kita buat persiapan dan persediaan," lanjut abangnya.
"Dan, yang menjadikan ia sesuatu yang sukar, payah dan membebankan apabila kita tidak bersedia dan bersiap dari segala perkara," tambah abangnya lagi.
"Ooo.. kalau kita bersedia memanglah abang, macam kita masuk exam la. Bagi saya bang, sebenarnya hendak melakukan persiapan dan persediaan itu yang susah. Ramai di kalangan kita hari ini melangkah ke alam rumah tangga tanpa persediaan dan persiapan yang rapi," adiknya berbual panjang mengulas seakan-akan berminat dengan tajuk yang diperbincangkan.
"Tapi, apa yang sebenarnya yang perlu kita persiapkan?," persoalan itu bermain-main di fikiran abangnya.
"Ha'a la, apa yang penting, segera dan utama?," tambah adiknya.
Saya yakin, setiap daripada kita mempunyai hasrat, keinginan dan berhajat untuk menjadi suami. Suami kepada seorang wanita dan gadis yang bergelar isteri.
Begitu juga bagi yang wanita – baik puteri-puteri manis, siswi-siswi dan nisa'-nisa' sekalian – menyimpan impian untuk memegang takhta sebagai seorang permaisuri di hati seorang insan yang bergelar lelaki. Ya, menjadi seorang isteri kepada seorang suami.
"Dan, kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui." [1]
Suami
Menjadi seorang suami adalah satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat dan sangat-sangat penting. Saya teringat kata-kata seorang doktor perubatan dalam ceramahnya :
"Jatuh bangun sebuah keluarga, terletak sepenuhnya di atas pundak (bahu) seorang lelaki, suami dan ayah!." [2]
Apabila mendengar ungkapan ini, seram sejuk saya dibuatnya. Beratnya, menjadi seorang suami. Harus mengalas dan memikul amanah yang tersangat berat. Perlu mendidik, membimbing dan menunjuk ajar isterinya. Dan, sekiranya dizinkan Allah S.W.T suami juga akan menjadi ayah yang akan membesarkan, memberi nafkah dan memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.
Sinisnya, ramai yang bersegera ingin menjadi suami dan ingin secepat yang mungkin untuk melangsungkan perkahwinannya, tetapi ramai yang tidak pernah terfikir untuk mempersiapkan diri untuk menjadi suami. Suami yang baik, terbaik dan bersiap sedia!
Saya tiada apa sangat yang ingin dikongsikan, cuma ingin mengajak sama-sama kita semak dan menilai apakah sebenarnya persiapan untuk menjadi seorang suami. Anda ingin menjadi suami atau tidak? Jika berhajat, ayuh sama-sama kita lihat dan semak diri kita. Bersedia atau belum?
3 Perkara Asas
Semasa bermusafir dengan murabbi saya, saya bertanyakan kepadanya apakah persediaan dan persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Beliau, memetik panduan yang diberikan oleh Hisyam al- Awadi bahawa kita perlu bersiapkan kepada 3 perkara asas sebelum mendirikan rumah tangga.[3]
01.Pertamanya, ialah mengenal dan mendalami ilmu Deen. Kita benar-benar mendalami aspek keagamaan kita meliputi semua aspek seperti keimanan, ketaqwaan, akhlak, muamalat dan perkara-perkara yang akan menjadikan kita sebagai seorang muslim muslimah yang sejati.
02.Keduanya, ialah mengenali dan mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan.Mengetahui dengan jelas, siapakah sebenar lelaki dan siapakah sebenarnya perempuan. Memahami dan mengetahui secara umum mengenai perbezaan antara kedua-dua psikologinya dan corak kehidupannya.
03.Ketiganya, mengetahui apa itu Baitul Muslim daripada pelbagai sudut dan aspek. Menuntut banyak buku dan kitab berkaitan baitul muslim bermula daripada proses pemilihan calon isteri sehingga belajar bagaimanakah kehidupan baitul muslim yang diredhai oleh Allah S.W.T.



Persiapan, persediaan dan perapian
Saya kongsikan beberapa panduan, tips dan ilmu berkaitan hal ini berdasarkan perkongsian saya bersama mereka yang lebih arif, berilmu, pakar dan berpengalaman. Semoga Allah merahmati mereka. Insya-Allah.
Bakal-bakal suami harus bersiap sedia, meletakan mind setting dan perlu paksa diri untuk menjadi suami yang :
01.Mampu menjadi Imam kepada isteri dan rumahtangganya.
(a) Pemimpin keluarga iaitu kepada isteri dan anak-anaknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.
Mampu membuat pemilihan dalam soal kehidupan, mempunyai kemahiran untuk berbincang dan membuat keputusan dan sanggup berkorban. Eh, bagaimana hendak belajar ini jika belum berkahwin? Murabbi saya sebut, kita sudah boleh belajar soal ini dalam kita menjalinkan persaudaraan dan persahabatan. Di dalamnya, begitu banyak ibrah dan iktibar yang kita boleh belajar.
(b) Mampu menjadi Imam solat berjemaah di dalam rumah tangganya. Ini penting, kerana rumah tangga yang diberkat oleh Allah S.W.T adalah rumah tangga yang di dalamnya ada nilai-nilai keagamaan antaranya ialah selalu mendirikan Solat bersama dan berjemaah. Harus selesai dalam soal bacaan al-Quran sebelum berkahwin. Surah al-Fatihah telah diperdengarkan bacaannya di hadapan ustaz-ustaz yang berkelayakan dan lulus bacaannya.
Banyak menghafal al-Quran sebagai pedoman dan kekuatan untuk jiwa dan hati. Semua ini harus diselesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Anda bagaimana?
(c) Pembimbing isteri yang bijak, lemah lembut dan bertoleransi. Mendidik isteri adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Suami perlu tahu secara teori teknik-teknik mendidik, keseniaannya, kaedah-kaedahnya, cara-cara perlaksanaannya, menegur dan menasihatinya dengan mencontohi Rasulullah S.A.W.
(d) Seorang lelaki yang kuat tarbiyah ruhaniyahnya. Ini kerana seorang lelaki yang akan mengemudi rumah tangga sangat-sangat berhajatkan kepada kekuatan roh yang tinggi untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan menimpanya dalam bentuk ujian dan cabaran. Al-Quran, al-Mathurat, Zikrullah dan solat sunatnya harus dilakukan secara konsisten.
Hal agama ini juga harus menjadi perkara asas dan agenda utama kepada kaum lelaki untuk memperdalaminya. Ia ibarat maruah kita. Jangan sehingga satu tahap, kita yang menolak isteri kita ke depan untuk mengimami solat kita!
Tanya diri anda, sebelum berkahwin. Adakah aku ini sudah biasa menjadi imam dalam solat? Perhatikan betul-betul perkataan saya, sudah biasa. Bukannya – pernah ya.
Saya pernah jadi Imam. Bukan yang itu, TETAPI saya biasa menjadi Imam.
Ya, itulah maksud saya. Kita sudah membiasakan diri kita mengimamkan solat berjemaah dan perkara ini tidak akan berlaku kecuali kita ini adalah mereka yang mementingkan solat berjemaah, merupakan ahli surau atau masjid dan sangat-sangat mencintai amal ibadah.
02.Mampu menjadi manager atau pengurus rumahtangga
Suami harus berkemampuan mengurus rumah tangga dengan bijak, cermat dan berhemah. Kemahiran pengurusan harus digilap dan dikembangkan dari semasa ke semasa. Antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah kemahiran pengurusan kewangan, pengurusan tekanan, pendidikan kejiwaan, kemahiran komunikasi, kemahiran berbincang, mampu menghadapi konflik, mampu menjaga perhubungan, mengetahui perundangan institusi kekeluargaan, tahu untuk hidup berkeluarga secara sihat dan berkemahiran dalam membuat keputusan.
Perkara ini tersangat penting. Saya lihat ramai yang ingin berkahwin, tetapi gagal dalam soal mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin dan pengurus. Inilah antara kepincangan dan dilemma yang berlaku kepada para pengantin baru.
Sehinggakan, ada dikalangan kita (siapa?) begitu kekok untuk mengurus hal-hal yang mudah seperti membayar bil elektrik, mengurus hal berkaitan urusan kehidupan di kaunter bank dan sebagainya. Kerana apa? Kerana semasa muda tidak pernah cuba untuk belajar dan melakukanya. Ayuh, kita ringankan diri menerokai perkara-perkara ini di awal usia peringkat keremajaan kita. Anda mampu mengubahnya.
03.Menjadikan rumahtangga sebagai daya motivasi, pendorong dan kekuatan untuk menggapai kejayaan di dalam kehidupan.
Hal ini harus bermula dengan visi serta misi yang ditetapkan secara bersama oleh suami dan isteri. Perkara ini boleh dibincangkan secara serius apabila berumah tangga kelak, cuma saya pernah diingatkan oleh seorang murabbi bahawa rumah tangga ini adalah anak tangga kedua untuk sama-sama mencapai cita-cita pembangunan Islam dalam kehidupan ini.
Perkara terpenting juga ialah, mendirikan rumah tangga ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Inilah asas yang utama dan terpenting. Bersama pasangan mengharungi arus kehidupan dengan ketabahan, kesabaran dan keazaman yang tinggi. InsyaAllah.
04.menjadi suami tidak lengkap jika tidak melakukan persiapan untuk menjadi seorang bapa atau ayah.
Saya masih ingat, seorang sahabat saya ketika beliau mula-mula menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada ayahnya. Lantas ayahnya bertanya :
"Sebelum berkahwin ini, ayah hendak tanya. Dah habis baca buku Tarbiyatul Aulad ( Pendidikan anak-anak)?"
Terkedu sahabat saya. Ke situ pula ayahnya bertanya. Kenapa ayahnya bertanyakan soalan sedemikian? Ia adalah berkaitan persoalan persediaan, persiapan dan mind setting untuk melihat bahawa perkahwinan ini bukalah sesuatu yang kecil.
Untuk yang berhajat berkahwin, kita harus melihat ke hadapan dan berpandangan jauh. Sekurang-kurangnya, kita melangkah ke alam perkahwinan dengan jiwa yang bersedia dan sudah mengetahui ujian-ujian dan cabarannya.
Mereka yang berjiwa besar, akan melakukan persiapan sebelum menempuhi jalan yang akan dilaluinya kerana mereka sudah mengetahui halangan-halangan di hadapan.
Alah, nanti bila dah kahwin kita mulakanlah...
Jika ayat ini yang terpacul keluar dari mulut kita, berwaspadalah. Kita sebenarnya, adalah seorang yang tidak berhajat untuk benar-benar mendirikan rumahtangga. Bermain-main dalam soal perkahwinan, bererti kita sudah meruntuhkannya sebelum berkahwin.
Dalam soal ini, ramai yang mengesyorkan kepada saya agar banyak membaca buku-buku yang berkaitan, antaranya :
(1) Buku Pemantapan Jatidiri Muslim, tulisan ulama muktabar seperti Apa Ertinya Saya Menganut Islam? Oleh Fathi Yakan, Keperibadian Mukmin oleh Ali al- Hashimi, Menuju Ketakwaan oleh Mustafa Masyhur dan banyak lagi.
(2) Perkongsian pengalaman dalam mendirikan rumah tangga boleh kita kutip dan timba daripada mereka yang lebih arif, berpengalaman dan telah lama mendirikan rumah tangga. Banyakan sesi perbincangan, sembang-sembang dan kutiplah rahsia pengalaman mereka. Mungkin kita jadikan ibu bapa kita sebagai tempat rujuk dalam soal sebegini. Perbincangan yang terbuka sangat diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran berkaitan pembinaan bahtera rumahtangga. Buku yang baik, saya cadangan tulisan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil, Buku Aku Terima Nikahnya dan sebagainya.
(3) – Buku yang baik untuk mengetahui perbezaan psikologi antara lelaki dan wanita tulisan John Gray, Men Are From Mars, Women Are From Venus. Selain itu boleh harmonikannya dengan ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang disampaikan oleh ulama muktabar yang anda kenali. Insya-Allah
(4)- Buku berkaitan pendidikan anak-anak. Harus baca dan dapatkan gambaran awal ialahTarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku yang sangat bagus untuk ditelaahi. Insya-Allah.
Penutup – Komentar seorang hamba
(1)- Persiapan, persediaan dan perapian sebelum melangkah ke alam perkahwinan harus dilihat secara serius, menyeluruh dan penting. Ini yang utama, persiapannya. Jika anda telah bersiap, insyaAllah kita akan melangkah dengan langkahan penuh keyakinan, kebergantungan dan kepasrahan kepada Allah SWT.
(2)- "We get married, to increase our Iman," : Slogan ini harus dibumikan. Perkahwinan adalah sebuah perjalanan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kayu ukur yang diletakan dalam sebuah perkahwinan yang barakah, mawadah dan rahmah.
(3)- Menjadi suami begitu sukar, jika kita menempuhinya tanpa apa-apa persediaan dan persiapan. Seharusnya, kita sudah meletakan diri dalam lingkungan bersedia dengan ilmu, proses pendidikan diri dan berusaha meningkatkan amalan harian tanpa jemu dan bosan.
(4)- Bagi saya, menjadi seorang suami itu amat sukar jika kita tidak punyai hasrat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Bak kata orang, perkahwinan ini adalah turning point berubah dalam hidup. Ayuh kita lakukan perubahan dengan berkahwin!
___________________________
[1] Surah An Nur (24) : 32
[2] Dr Hafidzah Haji Mustakim, Klinik Perdana Cawangan Islah, Kursus Pra Perkahwinan Balai Islam Lundang, 21-22 Disember 2010
[3] Abu Munzir, Musafir Tarbawi Utara, 1 Oktober 2010

Sunday, 3 July 2011

jauhi hutang...


Tadi bersembang dengan beberapa rakan, betapa mahalnya untuk mengadakan satu majlis perkahwinan pada zaman sekarang. Purata  'belanja hangus' buat kenduri sahaja perlu ada kira-kira RM20 000. Itu paling kurang.
Jika lelaki, belum termasuk belanja duit hantaran yang diminta pihak perempuan dan persediaan pindah ke rumah baru. Congak-congak, keseluruhan majlis & urusan kahwin boleh mencecah sehingga RM40 000 (ada yang jauh lebih tinggi). Seorang kawan perempuan mencelah, "patutla, ramai lelaki tidak berani nak komit kahwin..." (Ini kena tanya orang lelaki).
Sedihnya, kesan dari belanja kahwin yang semakin meningkat menyebabkan ramai pasangan muda berkahwin dengan membuat pinjaman peribadi. Walaupun, tiada statistik rasmi, saya percaya, anda kenal seorang atau dua kawan-kawan yang pernah membuat pinjaman peribadi (atau anda sendiri) bagi urusan perkahwinan. Mari kita cuba fahami mengapa pasangan (terutama lelaki) perlu meminjam untuk berkahwin...
  • Nilai hantaran yang diminta pihak perempuan tinggi antara RM10,000 ke RM30,000
  • Kos membuat sekurang-kurangnya satu majlis kahwin tinggi antara RM7500 ke RM12500 (anggaran RM25 per pax)
  • Urusan pindah rumah & deposit sewa semakin tinggi antara RM2000 ke RM6000
Katakanlah Mamat & Minat yang baru habis belajar di universiti mahu terus mengikat perkahwinan dan mereka mahu membuat majlis yang sederhana tetapi meriah. Minah yang baru Ijazah Kelas Pertama ingin membantu Mamat dengan hanya meletakkan hantaran bernilai RM5000 dengan membuat hanya satu majlis perkahwinan untuk mereka berdua. Dijangka 500 orang sanak saudara & kawan-kawan akan hadir. Kemudian, urusan pindah rumah dan membeli serba sedikit perabot mungkin sekitar RM2000. Bajet keseluruhan majlis dianggarkan RM19,500 (RM5000 + RM12500 + RM2000).
Saya dapat bayangkan si Mamat akan mula mencongak belanja kahwinnya RM19500. "Kat mana aku nak cari duit sebanyak itu? Aku pun belum kerja lagi...".
Selalunya, 2 perkara yang terlintas di benak si Mamat
  • "Aku boleh kerja dulu dan simpan setiap bulan. Kalau gaji aku RM2000, tiap-tiap bulan, aku simpan separuh. Dalam tempoh 20 bulan atau lagi 2 tahun, boleh la aku kahwin" atau...
  • "hish... aku dah sayang sangat pada si Minah, pinjam bank je la"
Keputusan ini sebenarnya, Mamat tidak perlu fikir seorang diri. Bincang dengan keluarga. Dan, berbincanglah dengan Minah. Kasih sayang dalam perkahwinan adalah kombinasi komunikasi, sakinah, mawardah dan warahmah. Mendapat keberkatan dalam sesebuah perkahwinan adalah jauh lebih penting dari mengadakan kenduri besar-besaran yang berlandaskan hutang.
Satu paradigma harus diubah di dalam masyarakat supaya tidak meletakkan 'piawaian saiz perkahwinan'. Besar kecil sesuatu majlis perkahwinan mestilah berdasarkan kemampuan. Jika bajet kecil, tidak perlu hidangkan nasi beriani, cukuplah sekadar hi-tea. Majlis perkahwinan adalah majlis resepsi untuk sanak saudara & kawan-kawan berkenalan mesra dengan temah hidup anda. Cadangan saya, anda dan pasangan boleh cuba untuk memikirkan kaedah kreatif yang tidak memerlukan banyak modal untuk satu majlis perkahinan.
Pasangan yang ingin berkahwin, sedarlah...
  • Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim, "kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah mudah (rendah) perbelanjaan (mahar)".
  • hantaran kahwin seharusnya adalah pemberian ikhlas pihak lelaki dan bukannya paksaan oleh pihak perempuan
  • janganlah mendekati hutang di awal perkahwinan
  • muafakat antara pasangan sebelum perkahwinan membawa keberkatan yang berterusan dalam perkahwinan
  • jangan gunakan alasan duit tiada untuk tidak berkahwin dan mengambil keputusan untuk terus membujang
  • belajar untuk jadi kreatif dalam menangani bajet yang kecil untuk melangsungkan perkahwinan.
Doa saya semoga anda dan pasangan dapat membina hidup bersama dengan tenang dan tanpa perlu pening memikirkan hutang keliling pinggang. Perkahwinan hanya permulaan kepada lebih banyak keputusan-keputusan penting dalam hidup.

Friday, 1 July 2011

Mencari atau menjadi?


“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya”, kata seorang mahasiswi.
“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak mem-Fatimahkan seorang yang tidakFatimah!”, tegas seorang mahasiswa.
Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?
Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?
Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.
Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?
Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!
Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.
Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda men-CARI si Soleh, tetapi berusahalah men-JADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat men-CARI yang solehah, tetapi berusahalah men-JADI yang soleh.
Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.
Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan itu walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.
Kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.

Suami disaran contohi sifat romantis Rasulullah layan isteri



RASULULLAH SAW adalah gedung segala sifat kesempurnaan yang tiada tandingan. Allah membimbing Baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam, ayat 4)
Sifat sempurna itulah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW, hati mereka mencintai Baginda, bahkan berapa ramai yang dulunya bersikap keras berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak serta budi Nabi SAW.
Sukarnya menggambarkan kemuliaan akhlak dimiliki Baginda, Saidatina Aisyah menisbahkan keperibadian Rasulullah SAW dengan kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang dan pemimpin tertinggi umat Islam, baginda dipenuhi nilai kasih sayang dan romantis dengan isteri-isterinya. Namun, sunnah ini seakan dilupakan suami masa kini yang sering menggambarkan diri mereka pemegang kuasa keluarga, perlu sentiasa kelihatan bengis dan egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas rasa tawaduk dan romantisnya Baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diceritakan, Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan Aisyah berkata: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.”
Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir menunjukkan ia satu sunnah terutama selepas melakukan hubungan intim bersama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa dibebani tugas, kita masih boleh mengambil sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Contohnya, menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti dilakukan Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehingga Nabi SAW berkata:
“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” (Hadis Bukhari dan Muslim)
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan:
“Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta.”
Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dulu. Apabila waktu cuti hujung minggu atau malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukan sekadar tips dari seorang pakar motivasi tetapi sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya.
Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim:
“Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
Rasulullah juga membawa Aisyah makan bersama di luar sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka jika isterinya Aisyah tidak diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disaran suami menyuap makanan ke mulut isterinya. Seperti dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”
Malangnya, romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya.
Tetapi jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ia dihalalkan.

Jangan putus asa dari rahmat Allah


Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.
Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.
Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud:
“Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”. (Lata’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).
Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.
Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.
Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.
Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta Ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.
Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta Ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.
Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq
Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.
Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.
Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman, maksudnya:
Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-’Imran: 164)
Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.
Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.
Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.
Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.
Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.
Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.
Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.
Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.
Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah,
Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)
Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.
Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)
Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.
Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.
Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.
Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.
Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.
Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.
Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta Ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.
Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.
Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.
Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.
Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.
Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.
Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.
Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta Ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud:
Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28).