Friday, 1 July 2011

niat,tekad dan usaha....


Sudah masuk kali ketiga Aisyah melontar anak-anak batu ke arah sekumpulan anak-anak ketam di atas pasir pantai yang memutih itu. Setiap kali terkena lontaran anak batu, bertempiaranlah anak-anak ketam lari menyelamatkan diri. Jika dilihat dari jauh, kelihatan warna-warna putih sedang bergerak dengan pantas sekali. Itulah anak-anak ketam yang sedang lari ketakutan.
Muslim hanya memandang dari jauh. Dia sengaja membiarkan Aisyah berbuat demikian. Seingatnya, ini adalah kali kedua dia membawa Aisyah bersiar-siar di tepi pantai selepas sebulan mereka mendirikan rumahtangga. Kali pertama dahulu di Teluk Batik, Perak. Dan kali ini, di kediamannya sendiri, Pulau Langkawi.
Sebenarnya dia mahu menghabiskan cuti hujung minggu kali ini bersama kedua ibu bapanya. Lalu dibawa bersama isteri tercinta pulang bersama ke kampung.
Pada fikirannya, Aisyah mungkin saja mahu merehatkan mindanya dengan melontar anak-anak batu itu. Atau mungkin saja mahu melepas geram kepada seseorang. Atau mungkin sebagai suka-suka, tanpa ada sebarang tujuan yang munasabah.
Muslim menapak mendekati Aisyah. Tiba di bawah salah satu rendangan pokok gajus, dia berhenti. Selipar yang dipakai terus ditanggalkan. Lalu dia duduk di atasnya.
"Belatih melontar jamrah ke?"
Sapa Muslim sebaik saja melabuhkan punggungnya di atas pasir pantai, beralaskan selipar miliknya.
"Taklah.."
Balas Aisyah spontan. Dia sedikit terkejut dengan sapaan Muslim kerana sejak dari tadi kelibat Muslim tidak kelihatan. Tetapi muncul pula secara tiba-tiba di belakang.
"Melepas geram?"
"Hmm.. Tak.."
"Membunuh anak-anak ketam yang comel-comel tu dengan kejam?"
"Tak jugak."
"Habis tu?"
Aisyah hanya tersenyum. Lalu anak-anak batu yang ada berada digenggaman tangan kirinya, dilontar manja ke arah Muslim. Dia menuju ke arah Muslim yang sedang duduk di bawah pohon gajus.
"Abang ni.. Dah la tadi hilang camtu ja.. Tahu-tahu ada ja kat belakang.."
"Abang pergi tengok orang kutip siput tadi. Cadang nak ajak Sayang sekali. Tapi Nampak macam tengah seronok membaling ketam, so tak jadi ajak la.."
"Ish abang ni.. Mana da Sayang baling ketam.."
"Ye ke? Habis tu?"
"Sayang tengah buat satu kesimpulan tau!"
"Kesimpulan?"
"Yup. Satu kesimpulan. Bahawa untuk mencapai cita-cita itu, perlu ada tujuan, usaha dan perancangan yang rapi dan jelas. Di sebalik perancangan, akan ada kegagalan yang akan kita terima. Tapi, semua cabaran tu akan membuahkan hasil bila kita sabar dalam mengharunginya.  Dan yang paling penting sekali, tujuan untuk mencapai matlamat itu mestilah betul-betul mantap. Dalam erti kata lain, ianya amat berkait rapat dengan niat. Niat mestilah betul. Dan bagi kita seorang Islam, niat itu tidak lain dan tidak bukan, hanyalah kerana Allah S.W.T."
Panjang lebar penerangan yang keluar daripada mulut Aisyah. Muslim tersenyum kagum. Sememangnya jika dilihat pada wajah Aisyah, terdapat tanda-tanda bahawa dia seorang yang cerdas.
"Jadi, apa kaitannya dengan batu-batu tadi?"
Muslim kembali menyoal.
Aisyah lalu meluruskan jarinya telunjuknya ke arah seketul batu besar berwarna perang keputihan.
"Abang nampak tak batu tu?"
Muslim mengangguk kecil.
"Sayang andaikan batu tu sebagai matlamat. Balingan batu-batu kecil ni sebagai usaha dan tujuannya, Sayang nak semua batu ni kena tepat kat batu besar tu."
"Maksudnya abang silap la tadi?"
"Yup, totally wrong my dear."
"Jadi, kesimpulannya?"
"Kesimpulannya, usaha tu perlu berulang kali dilakukan. Sebab tu la banyak batu kat tepi-tepi batu besar tu. Sayang baling tak kena. Hehe.."
"Sayang tak baca bismillah dulu kot.."
"Sayang dah baca la..
Aisyah mempertahankan pendiriannya.
"Kalau macam tu, cuba baling lagi sekali. Mana tau kot-kot kena."
Batu yang berada di tangannya digenggam erat. Kini dia bersedia untuk melontar buat kali keempat. Terkumat-kamit mulutnya membaca bismillah.
Lalu dengan sekuat hati, Aisyah melontar anak batu itu. Malangnya tidak mengena sasaran. Habis masam mukanya.
Muslim geli hati melihat telatah Aisyah. Hampir-hampir saja dia terbahak-terbahak dengan kelakuan Aisyah.
"Sayang nak dengar satu cerita tak?"
Muslim tiba-tiba bertanya kepada Aisyah. Seolah-olah tidak melihat apa yang dilakukan Aisyah sebentar tadi.
"Cerita? Cerita apa?"
"Satu cerita tentang 'niat, usaha dan hasil!' "
"Cerita Pak Pandir ea?"
Aisyah meneka.
"Tak! Ni cerita betul punya.."
"Ea? Ok ok! Cerita la.."
"Dalam cerita ni, ada seorang budak lelaki. Dipendekkan cerita, satu hari dia terbaca satu buku agama. Dalam buku tu, ada satu hadis yang bermaksud, 'Kahwinilah gadis yang solehah, pasti kau akan mendapat barakah'. "
Kata-katanya tiba-tiba terhenti di situ.
"Hek eh.. Ni mesti cerita jiwang kan??"
Soal Aisyah.
"Dengar bagi habis dulu.. Nanti baru nilai.."
Balas Muslim spontan.
Muslim memandang ke arah laut yang berombak tenang. Bunyi pukulan ombak yang menghempas pantai sedikit sebanyak menenangkan jiwanya saat itu. Lalu dia kembali bersuara..
"Satu hari, dia terpilih untuk ke program matrikulasi. Sepanjang hidupnya di matrik, dia cuba untuk dapatkan jawapan kepada maksud hadis tu. Dia pun tahu. Maksud 'gadis yang solehah' tu luas sekali. Di sebabkan tu, dia bertanya kepada ustaz dan ustazah bagi mendapatkan jawapan. Ternyata banyak sekali jawapan yang diterima. Ada yang mengatakan gadis yang solehah tu, seperti selalu solat berjemaah. Ataupun yang sopan santun akhlaknya. Atau juga seorang yang taat kepada kedua ibu bapanya.
Tapi malangnya, semua jawapan tu tidak dapat diaplikasikan. Kalau hendak melihat kepada mereka-mereka yang selalu solat berjemaah, itu satu perkara yang mustahil. Ini kerana pada bahagian muslimah, ada tirai yang menghadang. Jadi, jawapan yang pertama tidak dapat digunakan. Lalu dia memilih jawapan yang kedua. Jawapan ini juga tidak dapat diguna pakai.
Hendak menilai sopan santun yang ada pada seseorang itu, berkait rapat dengan keakraban yang ada. Ini juga satu perkara yang mustahil. Kalau sama-sama lelaki, tak menjadi masalah kan? Jadi dia memilih pula jawapan ketiga, iaitu taat kepada kedua ibu bapa. Jawapan ini lagilah rumit buat dirinya. Hidup di matrik, tidak bersama-sama ibu bapa. Jadi pastinya jawapan itu tidak dapat digunakan juga.
Lalu dia berfikir sendirian. Sambil berfikir dia memerhati rakan-rakan yang ada di sekeliling. Lama dia memerhati, tiba-tiba suatu hari muncul satu pemandangan di matanya. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang berjalan di bahu jalan. Kemas pakaian mereka. Pakaian mereka labuh menutup aurat, sebagaimana yang telah diperintahkan syariat. Sama sekali tidak kedengaran suara-suara gelak ketawa sesama mereka.
Apa yang ada, hanya balasan kata-kata berserta senyuman manis sesama mereka. Dan yang paling menarik perhatian budak lelaki ini ialah, tudung labuh yang menutup tubuh badan mereka. Kemas dan indah. Dia juga tidak tahu mengapa hatinya merasa begitu aman dan lapang waktu itu. Saat itu, hatinya merasa tenang.
Pada esok harinya, dia pergi berjumpa ustazah. Lalu diceritakan apa yang dilihatnya semalam. Selesai saja bercerita, ustazah mengatakan sesuatu padanya. Kata ustazah, "itulah salah satu maksud 'wanita solehah' ".
Muslim menghentikan ceritanya di situ. Nafas ditarik panjang. Lalu disambung kembali..
"Dan bermula saat tu, budak lelaki tadi mempersiapkan niat dan usaha bagi mencari wanita solehah. Di samping mencari yang solehah, dia juga berusaha menjadi sesoleh mungkin. Dan akhirnya, Allah telah memperkenankan niatnya. Dia telah mendapat seorang yang solehah bagi melengkapkan separuh daripada agamanya. "
Senyuman diukir menandakan ceritanya telah tamat. Aisyah yang berada di samping hanya tersenyum. Kepalanya kemudian didongak ke langit. Mahu melihat awan barangkali.
"Tak jiwang kan??"
Muslim menduga.
"Haha.. Ntah.. No komen."
Balas Aisyah bersahaja.
"Tapi kan, mesti untung perempuan tu. Zaman sekarang ni bukan senang nak dapat lelaki yang macam tu. Niat asal berkahwin pun dah jelas dengan syariat, apatah lagi jalan-jalan ke arah tu."
"Tapi sebenarnya, lelaki tu yang untung. Sebab si muslimah tu terima khitbah dia. Dan sekarang ni, dia tengah bahagia dengan simuslimah di tepi pantai yang cantik dan putih."
"Ha? Tengah bahagia kat tepi pantai? Macam mana abang tahu?"
"Sebab orangnya tu ialah... Sayang."
Terkejut Aisyah dengan apa yang diberitahu. Sama sekali dia tidak menjangka, itu ialah kisah Muslim sebelum bertemu dengannya. Dirinya menyangka bahawa watak dalam cerita itu tadi barangkali adalah kawan Muslim.
Saat itu Aisyah merasa amat terharu. Air matanya tiba-tiba menitis ke pipi. Bukan kerana sedih, tetapi merasakan satu nikmat pemberian daripada Allah, berupa seorang suami yang soleh.
"Nangis pulak Sayang ni.."
"Bukan nangis la.. Air masin masuk mata tadi.."
"Ok, sekarang ni cuba baling lagi sekali batu tu."
"Lagi sekali?"
"Yup!"
"Kalau tak kena?"
"Insya-Allah kena. Abang doakan."
Aisyah memejamkan kedua matanya. Cerita yang didengar tadi seperti ceramah daripada seorang pakar motivasi. Yang diterimanya, niat itu diletakkan hanya kerana Allah. Lalu dia membulatkan niat di hati, agar batu yang dibaling itu nanti hanya kerana Allah. Biarpun hanya membaling batu, namun niat itu sememangnya satu tonggak terpenting dalam apa jua pelaksanaan.
Tangan digenggam erat. Aisyah mengumpulkan seluruh tenaga yang ada. Setelah cukup bersedia, dia melontar dengan penuh bersemangat.
Anak batu itu meluncur dengan lajunya di atas angin. Tiba-tiba..
"Ketuk!"
Balingan Aisyah kali ini tepat ke arah batu besar di hadapan.
"Alhamdulillah, dah kena!"
Sorak Aisyah gembira.
Muslim datang menghampiri. Lalu, memberi satu ciuman di dahi isteri tersayang..
"Satu ciuman di atas berkat usaha anda. Hehe.."
"Ada-ada ja abang nih.."
"Dah la.. Jom kita balik rumah. Tadi mak ada call. Katanya petang ni nak buat masak-masak sikit. Nanti boleh la tolong-tolong kat dapur. Sambil-sambil tu Sayang boleh sembang-sembang dengan mak."
Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda,
Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu. (Riwayat Muslim)

bukan hanya lafaz bicara...


Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. (Hamka)
Sememangnya cinta itu sering kali dikaitkan dengan keindahan, dan sering sahaja mengundang senyuman.  Ada yang sanggup memperjuangkan cinta sehingga sanggup pula melepaskan yang dimiliki demi mengejar cinta.  Lihat sahaja paparan di media pada hari ini,  tataplah berita di kaca televisyen dan internet,  bacalah berita di akhbar dan majalah.  
Apa yang sering dikaitkan dengan keruntuhan nilai akhlak remaja?  Sudah pastilah kerana cinta yang diagung-agungkan sehingga sanggup pula lari dari rumah meninggalkan ibu bapa yang telah banyak berkorban.  Hanya kerana cinta,  manusia sering saja menghalalkan yang sudah termaktub haramnya.  Bukankah sejak di awal usia,  kita sering kali diberitahu bahawa penzinaan dan menghampiri zina itu tetap HARAM hukumnya?
Barang siapa yang cintakan sesuatu,  maka dia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Barang siapa yang mencintai sesuatu,  maka dia banyak menyebutnya, mengingatinya,  dan memikirkannya (Ibnu Ata'illah – Kitab Al-Hikam )
Bukan salah cinta itu hadir dalam diri setiap manusia.  Tetapi salah manusia yang tidak pandai, tidak cekap menguruskan perasaan cinta yang hadir.  Benarkah cinta yang dirasakan jika kita sanggup mengetepikan cinta kita kepada Allah,  cinta kita kepada Rasul,  cinta kita kepada Islam, dan cinta kita kepada ibu bapa?  
Bukankah cinta itu jauh lebih mulia daripada cinta yang kita sanggup agung-agungkan.  Percayalah, setiap rasa cinta yang hadir sehingga kita mengetepikan soal halal dan haram itu tidak lebih sekadar cinta yang berajakan NAFSU.  Ya Allah,  jauhkanlah kami daripada mengulit mimpi indah dalam cinta yang semakin hari semakin menjauhkan kami daripadaMu.Tuntunlah hati ini untuk mengenali cintaMu,  mendahulukan cintaMu,  dan tidak menduakan cintaMu.
Mana mungkin rasa cinta ini,
ku curahkan untuk lelaki yang telah lupa,
Lupa pada cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin rasa  cinta ini,
ku serahkan kepada lelaki yang kedekut,
Kedekut untuk mengucapkan ayat-ayat cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin cinta ini,
ku amanahkan buat seorang lelaki yang culas,
Culas dalam melaksanakan amanah pemilik cinta,
Mana mungkin ku merasa bahagia,
Jika aku menjulang-julang peminjam cinta,
Tapi mengetepikan pemilik cinta.
Berkali kita diingatkan. Lahir sahaja di dunia, menjengah alam telah pun diazan dan diiqamahkan. Cinta kepada Allah,  adalah cinta yang agung dan suci.  Cinta yang sebenar-benarnya menuntut kesabaran,  ujian iman,  dan ketaqwaan.  Cintailah Allah,  dan Allah akan memelihara cinta yang tersulam indah sesama manusia.
Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Sahih Bukhari)

bertunang waktu belajar...




"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, saya ingin tanya satu soalan".
Mesej offline tiba-tiba muncul, sebaik sahaja penulis sign-in yahoo messenger.
"Just ingin minta pendapat sahaja".
"Saya ada berkawan dengan seorang lelaki dan dia juga merupakan pelajar di luar negara dalam Pengajian Islam. Dia mahu kami bertunang dalam fatrah kami masih student. Tapi saya tidak setuju, sebab kalau boleh saya nak habiskan belajar dahulu. Macam-macam alasan saya beritahu kepadanya untuk kebaikan bersama," tambah beliau (seorang perempuan yang disembunyikan identiti) lagi.
Dialog santai ini penulis terima dua minggu lepas, selepas usai menunaikan solat subuh di Masjid Syarifuddin El-Kurd. Ada beberapa tambahan kata-kata daripadanya, yang mana terkesan membaca beberapa sisipan artikel yang diterbitkan sebelum ini. Mungkin soalan nampak biasa-biasa sahaja, namun jenuh juga untuk menjawab mengikut situasi semasa. Kena tengok banyak sudut, baik dari sisi manfaat atau kesan buruk bila berlaku sedemikian. Boleh katakan kebanyakan dan lambakan e-mail yang penulis terima daripada para pembaca, adalah feedback daripada labels 'Keluarga Bahagia'. Berpeluh juga kalau fikir-fikirkan.
Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk 'ilmu dalam pencarian' yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.
Walau apapun, tergerak juga rasa hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang, sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian. Tahniah! Nabi bersabda; "Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" ,(Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad) .
Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam
Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi 'lesen besar' untuk melakukan maksiat, dengan alasan 'kami sudah bertunang'. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.
Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan.
Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam.
Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.
Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu 'Mahu hidup semati'. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap, dikalangan para pembaca yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. 'Mata air' di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang 'si dia' dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi 'si dia' sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.
"Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?". "Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!" Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan;
"Tu...! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tidak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat". "Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat".
Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya.
Rasanya dua tahun tu sekejap sahaja, terutama untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab untuk bersedia. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal 'lobang' dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik. Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi penulis, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang 'Islamik Romantik'. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.
Matlamat Utama Jadi Sandaran
Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada penulis, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara' dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja. Menyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara all rounder.
Mungkin bagi sesetengah indivudu, banyak cabaran semasa bertunang, setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Apa yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai. Baru betul! Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self-improvement.
Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.
Kita kena dan perlu ingat! Naluri seorang ibu sungguh bernilai bagi seorang anak. Cuba jentik hati anda. Adakah kita maksum dari segala dosa noda? Sekarang ini kita berjauhan dari kedua orang tua kerana seberkas ilmu. Pengorbanan perlu dilakukan demi kebahagian masa hadapan diri dan mereka. Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi memang itu harapan anda, kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah 'suci dalam debu' atau 'suci dalam asap'. Kenanglah pengorbanan mereka yang tidak terbalas walaupun segunung emas menjadi taruhan. Bukan lirik lagu semata-mata, tapi sebuah harapan.
Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang orang yang ber'couple' pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), kemanakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? semoga Allah Taala masih memberi kita ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-NYA.
Allah Taala berfirman; "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."  Surah al-Baqarah (2:186)